DAPUR CHE’ NOR BERASAP

Menemui pembaca blog yang dikasihi untuk episod keempat, kami bersiaran pada 17 Ogos 2018 dengan mendapat perkongsian sebanyak 17,000 di Facebook Live. Terima kasih kepada mereka yang telah menonton sekaligus mengambil manfaat daripada video masakan Che’Nor ini.

Seperti yang sedia maklum, Dapur Che’Nor Berasap memang unik dan lain daripada program masakan lain kerana kami menghidangkan Teknik memasak untuk jumlah yang ramai iaitu antara 30-40 orang makan.

Episod kali ini istimewa dengan tiga resipi ditunjukkan sekaligus iaitu Kambing Kuzi, Nasi Minyak dan Acar Jelatah. Ketiga-tiganya adalah set lengkap yang biasa dimasak oleh Che’ Nor sendiri menerusi katering untuk majlis kenduri, biasanya Aqiqah.

 

Menu : Kambing Kuzi, Nasi Minyak & Acar Jelatah

Masa Memasak : 1 jam 9 minit (durasi video)

Hidangan untuk : 30-40 orang

KAMBING KUZI

Bahan utama

  • 5kg daging kambing (rebus selama 30 minit)

Bahan hiris

  • 7 ulas bawang putih
  • 5 inci halia
  • 5 biji bawang besar

Bahan tumis

  • 5 kuntum bunga lawang
  • 2 batang kayu manis
  • 7 biji buah pelaga
  • Setin minyak sapi
  • Minyak masak

Bahan lain

  • 100 gm serbuk kari daging (tanpa dicampurkan air)
  • 3 cawan cili kisar
  • 3 senduk sos cili
  • Setin tomato puri
  • 2 tin susu cair
  • 2 botol yogurt (470gm sebotol)
  • Kacang gaju
  • Gula dan garam

 

Cara membuatnya

  1. Panaskan minyak dan minyak sapi (boleh juga letak daun pandan supaya wangi).
  2. Tumis bawang putih, halia dan bawang besar. Kacau hingga ia layu.
  3. Masukkan bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga, kacau lagi.
  4. Bila naik bau, masukkan rempah kari dan kacau sebati.
  5. Masukkan cili kisar, gaul sebati.
  6. Masukkan sos cili (supaya kuahnya likat berkilat).
  7. Masukkan tomato puri. Kacau sebati
  8. Masukkan daging kambing yang telah direbus. Kacau.
  9. Kemudian masukkan susu cair.
  10. Setelah empuk, perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa, kacau sebati.
  11. Masukkan yogurt dan kacau.
  12. Masukkan biji gajus dan kacau.
  13. Masukkan daun ketumbar. Kacau jangan terlalu lama supaya ia tidak menghilangkan rasa yogurt nanti.

 

NASI MINYAK

Bahan utama

  • Beras (ikut sukatan sendiri)

Bahan tumis

  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2 batang kayu manis
  • 7 biji buah pelaga
  • 7 biji lada hitam

Bahan hiris

  • 5 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang besar
  • 2 inci halia
  • 3 batang serai (potong halus)

 

Cara membuatnya

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih, halia dan bawang besar hingga layu.
  2. Kemudian tumis bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga.
  3. Masukkan 7 biji lada hitam dan kacau hingga naik bau.
  4. Masukkan beras, kacau hingga sebati.
  5. Masukkan air mengikut sukatan tepat dan boleh tekan suis ‘cook’.
  6. Setelah masak, bubuh garam supaya nasi lebih berasa sedap.

JELATAH

Bahan-bahan

  • Sebiji nenas
  • 5 batang timun (potong tidak terlalu nipis)
  • 5 batang cili merah
  • 1 cawan cuka
  • 5 senduk gula
  • 5 sudu garam

 

Cara membuatnya

  1. Potong kesemua bahan-bahan acar, masukkan ke dalam bekas.
  2. Masukkan gula dengan banyak untuk menyeimbangkan rasa masam nenas.
  3. Masukkan cuka.
  4. Perasakan dengan garam, kacau dan sedia dihidangkan.

Untuk menonton versi video, anda boleh klik di bawah

EPISOD 4 – DAPUR CHE’NOR BERASAP

 

Tip gaya Che’Nor

  • Masakan kuzi menghampiri masakan sambal, bukannya kari, jadi tidak perlu daun kari ketika menumis.
  • Masakan kuzi memadai menggunakan bawang yang dihiris bukannya dikisar kerana rasa bawangnya tetap akan keluar bila layu. Jika kisar, ia sudah sepertri rasa sambal.
  • Serbuk kari yang ditumis tidak perlu dicampur dengan air, masukkan terus ke dalam periuk dan dikacau.

Selamat memasak dan tagline Dapur Che’Nor Berasap ialah

“Kalau dapur korang tak berasap, carilah sambal Che’Nor”

 

 

 

 

 

 

 

One thought on “Episod 4- KAMBING KUZI, NASI MINYAK & JELATAH YANG MABELES!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *