Dapur Che’ Nor Berasap

Menemui pembaca blog yang dikasihi untuk episod ketiga, kami bersiaran pada 10 Ogos 2018 dengan mendapat perkongsian sebanyak 17,000 di Facebook Live. Terima kasih kepada mereka yang telah menonton, menekan butang ‘share’ hingga ia mendapat jumlah perkongsian yang tinggi.

Seperti yang sedia maklum, Dapur Che’Nor Berasap memang unik dan lain daripada program masakan lain kerana kami menghidangkan Teknik memasak untuk jumlah yang ramai iaitu antara 30-40 orang makan.

Tanpa melengahkan masa jom kita tonton episode ketiga iaitu menu Rendang Ayam Cili Padi Berapi. Dah boleh bayang tak macam mana pedasnya lauk ni? Dah lah cili padi, berapi pula tu…

Masa memasak : 1 jam 30 minit

Hidangan untuk : 30 -40 orang

 

Bahan utama

  • 4 ekor ayam (potong 16)

Bahan kisar A

  • 4 ketul halia
  • 4 ketul lengkuas
  • 4 ketul kunyit
  • 21 ulas bawang putih
  • 7 biji bawang besar
  • 10 batang serai

Bahan kisar B

  • 3 genggam cili api

Bahan lain

  • 11 batang serai (ketuk)
  • 2 liter santan (2 kotak santan besar)
  • 8 keping asam keping
  • 15 helai daun kunyit (racik kasar)
  • 10 sudu besar kerisik
  • 3 sudu besar garam
  • 2 sudu besar gula

  

Cara membuatnya

  • Tumis bahan kisar A hingga betul-betul pecah minyak.
  • Masukkan serai ketuk dan kacau (tutup periuk supaya tak merecik)
  • Kemudian masukkan bahan kisar B, kacau hingga mendidih.
  • Masukkan ayam dan kacau.
  • Seterusnya masukkan 1 liter santan pertama, kacau dan balik-balikkan ayam supaya sebati.
  • Apabila santan makin kering, masukkan 1 liter santan kedua pula dan kacau sebati hingga mendidih.
  • Masukkan kerisik.
  • Masukkan garam, gula dan asam keping, kacau hingga sebati.
  • Setelah kuah rendang hampir kering, taburkan daun kunyit dan gaul serata supaya baunya sekata.

Tip masak gaya Che’Nor

  • Masak rendang memerlukan kesabaran ketika menumis dan menunggu air betul-betul kering baru langkah seterusnya.
  • Kacau ayam ketika ia baru dimasukkan ke dalam periuk bukannya ketika hampir masak untuk mengelakkan ayam dari hancur.
  • Untuk mengetahui sama ada ayam sudah masak atau belum adalah dengan melihat peha serta sayapnya. Jika terkopek, maka ia sudah masak.
  • Apabila warna rendang sudah bertukar ke warna gelap, kurangkan mengacau supaya ayam tidak hancur.
  • Jika anda mahu masak gaya ekspres, boleh gunakan rempah Satay Che’Nor yang sudah mengandungi halia, serai, lengkuas, jintan dan sesuai untuk mereka yang mahu cepat tanpa perlu mengisar rempah.

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *